Kejadian itu melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna perak yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun yang melanggar palang tol ketika menghampiri plaza tol berkenaan kira-kira pukul 7.50 pagi tadi.

Apa yang menghairankan adalah palang tol itu tidak patah sebaliknya memasuki ruang dalam kenderaan itu melalui cermin bahagian pemandu sekali gus menimbulkan tanda-tanya bagaimana ia boleh berlaku.

Dalam pada itu, Ketua Polis Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kejadian tersebut telah dirujuk kepada Unit Siasatan Lebuh Raya (USLR) di Plaza Tol Sungai Dua.

Katanya, siasatan awal mendapati, pemandu berkenaan terleka ketika menghampiri plaza tol berkenaan dan tidak sempat menekan brek sehingga melanggar palang plaza tol tersebut.

“Pemandu dan penumpang kenderaan itu tidak cedera namun saman terhadap pemandu dikeluarkan di bawah Rule 10 LN Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 atas kesalahan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE