Ibu Nora Anne, Maebh Jaseprine Quoirin, 46, berkata, wang ganjaran itu adalah sumbangan daripada beberapa ahli perniagaan yang berpangkalan di Belfast, Ireland.

Menurut beliau, mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian hotline polis di talian 0111-2285058 atau e-mel kepada [email protected] dari luar Malaysia.

"Nora Anne adalah anak pertama kami. Dia sangat berharga kepada kami. Kami memohon kepada sesiapa yang mempunyai maklumat tentang Nora Anne membantu kami mencarinya.

"Pihak polis sedang bekerja gigih mencari Nora Anne. Bagi membantu pencarian mereka, kami menawarkan ganjaran RM50,000 untuk apa jua maklumat yang dapat membantu kami mencari Nora Anne," katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Pantai di sini hari ini.

Nora Anne dilaporkan hilang dari Resort The Dusun Pantai Hill dekat sini pada pagi 4 Ogos lalu semasa sedang bercuti bersama ibunya, Maebh Jaseprine Quorin, 46, dan bapa, Sebastian Marie Philipe, 47, serta dua adiknya.

Semasa kejadian, mangsa tidur dalam bilik bersama Innes Julia, 12, dan Maurice Arthure, 8, sebelum adiknya mendapati gadis tersebut sudah tiada kira-kira pukul 8 pagi.

Mangsa bersama ahli keluarganya tiba di resort berkenaan pada pukul 7 pagi, 3 Ogos lalu. - UTUSAN ONLINE