Ibunya, Nik Hasmani Mohamad, 44, berkata, dia reda anak lelaki tunggal daripada empat beradik pergi dalam usia muda namun siasatan perlu dilakukan bagi mengetahui punca kejadian dan mengelak insiden sama menimpa murid lain pula pada masa depan.

Selain itu, dia kesal apabila mendapat tahu tiada guru pengiring berada di dalam bas ketika rombongan murid itu dalam perjalanan ke Besut.

“Macam mana kejadian ini boleh berlaku? Macam mana tiada orang dewasa dalam bas? Hanya murid sekolah sahaja, tiada cikgu pun dalam bas. Cikgu tidak ikut kerana penganjurnya orang lain.

JENAZAH Adam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baka malam tadi. - UTUSAN ONLINE

JENAZAH Adam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baka malam tadi. - UTUSAN ONLINE

“Saya memberi kebenaran Adam mengikuti program ini kerana fikirkan pelajarannya, lagi pun arwah ada ujian percubaan minggu depan,” katanya dalam keadaan sebak ketika ditemui di sini malam tadi.

Dia ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baka di sini selepas jenazah murid Sekolah Kebangsaan Tok Bok itu selamat dikebumikan pada pukul 10.10 malam tadi.

Nik Hasmani bersama tiga anak perempuannya iaitu Wan Nurfazleen Amirah, 22; Wan Nurfazreen Athirah, 18, dan Wan Nurfaresya Amanda, 15, dilihat tidak dapat menahan perasaan ketika jenazah Wan Mohammed Adam dimasukkan ke liang lahad.

Sementara itu, Wan Nurfazleen Amirah berkata, dia tidak teragak-agak untuk menyaman pihak yang terlibat sekiranya wujud unsur cuai dalam kejadian meragut nyawa adik bongsunya itu.

“Kena ambil tindakan kepada penganjur dan syarikat bas (sekiranya cuai), pihak mereka tidak ambil tahu bas apa yang ditempah. Pihak polis juga perlu siasat sama ada bas itu mempunyai permit sah atau tidak.

“Tindakan saman juga perlu sebab takut kejadian sama akn menimpa orang lain pula. Saya dan adik bongsu amat rapat, segala permintaannya saya berikan semua. Tidak sangka Adam kini pergi sekelip mata,” kata pelajar sebuah kolej di Selangor itu.

Dalam kejadian pada pukul 11.50 pagi semalam, Wan Mohammed Adam bersama 30 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang berada dalam bas dalam perjalanan ke Besut, Terengganu.

Siasatan polis mendapati, mangsa bermain di bahagian hadapan sebelah kiri pemandu dan melompat di kawasan lantai reput semasa bas sekolah sedang bergerak sebelum tiba-tiba terjatuh ke bawah lalu digilis tayar bas. - UTUSAN ONLINE