Menurut seorang suri rumah, Zaini Rahman, 50, ketika kejadian pukul 5 petang itu, dia berada di ruang tengah rumah manakala anaknya, Nur Aina Julaiqha Mohd. Zin, 15, sedang tidur di ruang tamu.

"Suami pula berada di dapur. Tiba-tiba anak perempuan saya menjerit ketakutan dan saya melihat keseluruhan atap ruang tamu dan dua bilik tidur diterbangkan angin dalam sekelip mata.

"Air hujan mencurah-curah masuk ke dalam rumah. Kami bertiga panik dan saling berpelukan sehinggalah suami mengajak kami keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut Zaini, itu adalah kejadian kali pertama yang berlaku sepanjang dia mendiami rumah itu sejak 50 tahun lalu.

Tambahnya lagi, dia dan keluarga berterima kasih kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah yang tiba sejurus mendapat maklumat mengenai kejadian itu dan menghulurkan bantuan serta sumbangan.

Rumah keluarga itu adalah salah satu daripada 17 kediaman yang rosak akibat ribut semasa hujan lebat yang melanda Kampung Serting Ilir dan Kampung Gajah Mati semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jempol Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting, Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli melawat lokasi kejadian dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa.

Turut melawat mangsa ialah Ketua Pemuda UMNO Jempol, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir dan Penyelaras DUN Serting, Abdul Rahman Ramli. - UTUSAN ONLINE