Dalam kejadian pada pukul 11.30 malam itu, mangsa, Arif Fahmi Cassidy, 10, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum akibat cedera parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa menunggang basikal secara berkumpulan bersama empat atau lima lagi rakannya sebelum dilanggar sebuah kereta Perodua Myvi.

Ujarnya, pemandu Perodua Myvi itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Desa Ilmu dari pejabat Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Samarahan sebelum melihat kumpulan kanak-kanak itu menunggang basikal secara beriringan dari arah sama.

"Bagaimanapun, ketika menghampiri kumpulan penunggang basikal itu, tiba-tiba seorang daripada mereka didakwa membuat pusingan U dan menghala ke arah kereta terbabit.

"Pemandu terbabit cuba mengelak ke kanan tetapi gagal disebabkan ada kenderaan lain datang dari arah bertentangan lalu berlaku perlanggaran secara bertembung," katanya seperti dilaporkan portal Utusan Borneo.

Tambahnya, kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE