Muhammad Aqil Irfan Muhammad Haffiez, 2, meninggal dunia pada pukul 1 pagi ketika mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama ibunya yang berusia 38 tahun menghadiri rumah terbuka sempena hari raya di kampung itu semalam.

Katanya, mangsa yang tanpa pengawasan itu dipercayai telah terjatuh ke dalam kolam hiasan yang terletak kira-kira empat meter dari pintu utama rumah berkenaan.

“Kejadian itu hanya disedari seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang merupakan anak saudara bapa kanak-kanak tersebut setelah melihat mangsa dalam keadaan tertiarap di dalam kolam.

“Mangsa yang tidak sedarkan diri itu kemudiannya diberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan kecemasan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang dipindahkan ke HRPB untuk rawatan lanjut pada hari sama bagaimanapun disahkan meninggal dunia akibat lemas pada pukul 1 pagi.

Katanya, siasatan mendapati tempat kejadian merupakan rumah kampung satu tingkat dan kolam tersebut merupakan kolam hiasan buatan pemilik rumah untuk membela ikan.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian juga mendapati tiada pagar yang diletakkan di sekeliling kolam dengan kedalaman 0.6 meter itu.

“Semasa kejadian, ibu kanak-kanak itu berada di dalam rumah dan mangsa bersama kanak-kanak lain berada di luar. Tiada saksi yang menjaga mangsa atau melihatnya bermain di kolam tersebut,” katanya.

Tambah beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. -UTUSAN ONLINE