Ketika kejadian, kanak-kanak berusia tujuh tahun itu tinggal seorang diri di rumah tersebut manakala ibu dan bapanya serta dua keluarga lain yang turut menyewa rumah berkenaan keluar bekerja.

Ketua Zon 1 Perak, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd. Khairul Jamil berkata, sekumpulan 29 anggota bomba dihantar ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.56 tengah hari.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, api didapati marak membakar rumah tersebut lebih 70 peratus dan kerja-kerja memadam kebakaran segera dilakukan.

“Kejadian kebakaran itu disedari kanak-kanak terbabit setelah melihat kepulan asap dan dia yang dalam keadaan ketakutan segera melarikan diri bagi mendapatkan bantuan.

“Pemeriksaan fizikal ke atas kanak-kanak itu mendapati tiada kecederaan dialami namun dia yang dilihat masih trauma itu diserahkan kepada ibu bapanya untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Mohd. Khairul berkata, struktur rumah yang dibina daripada papan itu menyebabkan api merebak dengan pantas namun ia berjaya dikawal dalam tempoh 27 minit.

Katanya, kebakaran tersebut turut merebak ke sebuah rumah bersebelahan dengan anggaran kemusnahan kira-kira 10 peratus.

“Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Tambah beliau, operasi memadam kebakaran itu melibatkan 29 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dan Meru Raya dengan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bercham, Pasir Pinji dan Pekan Baru.-UTUSAN ONLINE