Juruteknik kilang maut motosikal bertembung kereta

Dalam kejadian pukul 7.45 pagi itu, mangsa, Muhammad Fareez Shamshol Bahari, 30, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius di bahagian kepala.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Hassan Basri Yahya berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC semasa kejadian dalam perjalanan dari arah Durian Tunggal menuju ke Gangsa.

“Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, sebuah kereta Honda Jazz dipandu seorang guru wanita berusia 35 tahun telah hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal ditunggangi mangsa.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke bahu jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Jelas Hassan Basri, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE