Laili A. Majid, 54, yang masih bujang dan tinggal berseorangan ditemukan dalam keadaan tertiarap di bilik tidurnya oleh sepasukan polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 8 malam.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Raiz Mukhliz Azman Aziz, wanita itu yang bertugas di Hospital Melaka disedari tidak keluar dari rumah sejak Ahad lalu oleh jirannya.

"Sebaik sahaja menerima laporan daripada jirannya, sepasukan angota polis bergegas ke lokasi rumah jururawat itu dan menemukan mayat seorang wanita yang dpercayai telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu.

"Hasil siasatan awal mendapati, wanita itu merupakan penghidap kanser payu dara tahap empat dan tiada sebarang unsur jenayah dikesan pada mayatnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Raiz Mukhliz, mayat wanita itu dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan pihaknya mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut.

Sementara itu, Rohani Harun, 49, yang merupakan jiran si mati berkata, arwah sebelum ini hanya mengadu sakit di kaki dan urat sarafnya namun tidak pernah memberitahu penyakit dihidapinya selain enggan mendapatkan rawatan.

"Saya datang ke rumah arwah pukul 10.30 pagi semalam membawa bihun goreng untuknya tetapi dia tidak menyahut atau keluar rumah selepas dipanggil berkali-kali.

"Mulanya saya ingat arwah merajuk kerana dia ditinggalkan ketika saya menghantar anak menyambung pelajaran di Selangor pada Jumaat lalu,' katanya sambil memberitahu penduduk taman itu mengambil berat tentang makan minum arwah sejak kebelakangan ini berikutan tahap kesihatannya yang semakin merosot. - UTUSAN ONLINE