Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong berkata, antara kawasan yang terjejas akibat jerebu pada awal pagi ini ialah di Permyjaya, Lutong, Taman Tunku dan sekitar Miri.

Ujarnya, kawasan lain turut terjejas ialah perumahan Vista Perdana.

“Hasil rondaan dan pemantauan pihak kita mendapati kejadian ini berlaku kesan daripada pembakaran terbuka di kawasan berhampiran dengan padang golf sebuah hotel terkenal di sini dan di hadapan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri semalam.

“Pembakaran itu dipercayai dilakukan oleh penduduk berhampiran untuk membesarkan kebun bagi tujuan pertanian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 25 Ogos lalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri dengan bantuan pelbagai agensi serta syarikat korporat telah berjaya memadamkan kebakaran tanah gambut serta hutan di Kuala Baram yang menyebabkan jerebu di kawasan berkenaan.

Berikutan masalah itu, dua sekolah rendah di sana terpaksa ditutup berikutan kebakaran berlarutan selama lebih dua minggu.

Dalam pda itu, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Miri mencatat bacaan 146 iaitu tidak sihat manakala IPU di ILP Miri serta Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram 2, Miri masing-masing mencatat bacaan 98 dan 66 iaitu sederhana sejak pukul 9 pagi ini.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar Ismail Mahedin dalam satu kenyataan memberitahu, berdasarkan laporan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), tiada titik panas (hotspot) dikesan di Sarawak.

Menurutnya, setakat ini hanya 129 titik panas dikesan di Indonesia iaitu 114 di Kalimantan dan 15 di Sumatera, jerebu dari Kalimantan pula telah dikesan bergerak ke arah Sarawak.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama awal pagi ini mendapati masalah jerebu tidak menjejaskan sesi persekolahan di bandar di sini terutama sekali murid-murid Tahun Enam yang menduduki peperiksan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini.- BERNAMA