Menurut kenyataan JBPM, setakat 12 tengah hari ini, sembilan kes dilaporkan dan secara puratanya JBPM Sarawak menerima 23 kes sehari.

“Semalam JBPM mencatatkan jumlah kes kebakaran belukar tertinggi iaitu dengan 58 kes telah diterima,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun JBPM menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran secara terbuka terutamanya di musim cuaca panas dan kering, namun masih ramai yang tidak mempedulikan nasihat tersebut.

Sementara itu, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) Jabatan Alam Sekitar menunjukkan Institut Latihan Perindustrian Miri masih mencatatkan kualiti udara pada tahap bahaya iaitu dengan bacaan 388.

Di kawasan lain seperti di Kuching, Samarahan, Bintulu dan Sibu, bacaan kualiti udaranya masih dalam keadaan sederhana baik iaitu di antara 63 hingga 98.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 menggambarkan keadaan adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya). - BERNAMA