Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ding Lay Ming berkata, jawatankuasa bebas itu akan mengadakan siasatan dalaman bagi mengenal pasti sama ada kenderaan hospital itu dikendalikan atau diselenggara mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) atau sebaliknya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi negatif berhubung kes berkenaan sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Bagi pihak Kementerian Kesihatan, kita sememangnya memandang serius kes kemalangan yang telah mengorbankan seorang kakitangan dan pesakit.

“Buat masa ini, isu penyelenggaraan kenderaan hospital termasuk ambulans masih dalam siasatan pihak kami dan Kementerian Kesihatan. Oleh itu, jawatankuasa bebas ditubuhkan bagi menyiasat kes tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut Lay Ming berkata, pihaknya tidak mampu mengawal semua kecaman yang diterima berhubung kejadian itu namun meminta agar semua pihak bertenang sehingga siasatan kes selesai.

“Kita tidak boleh kawal mereka hendak kata apa. Apa yang pasti, kita tunggu laporan siasatan kes daripada jawatankuasa bebas dilantik Kementerian Kesihatan dan polis untuk mendapatkan gambaran sebenar kejadian.

“Bagi pihak seluruh warga Jabatan Kesihatan negeri, kita bersedih dengan insiden itu dan bersedia menyalurkan sebarang bantuan kepada keluarga mangsa sekiranya diperlukan,” katanya. -UTUSAN ONLINE