Pakar Kualiti Air dan Pemodelan, Ir. Dr. Zaki Zainudin berkata, mana-mana pihak tidak sewajarnya menyalahkan kerajaan negeri.

"Mereka sudah melakukan sedaya upaya dan kita kena faham nak tentukan punca pencemaran di Pasir Gudang memamg sangat susah sebenarnya.

"Bagi saya mereka (kerajaan Johor) pun tidak sangka yang perkara ini akan berlaku. Jadi, untuk masa akan datang lebih baik kita jalankan kajian untuk kawasan lain dari sekarang supaya tidak kelam kabut," katanya mengulas mengenai kemampuan kerajaan negeri dalam menangani masalah pencemaran di daerah ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi panel dalam Forum Halatuju Isu Pencemaran Pasir Gudang di Taman Rinting di sini hari ini.

Turut menjadi panel ialah Pensyarah Pusat Pengajian Teknologi Industri Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Japareng Lalung, Felo Pelawat Kajian Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS) Yusof Ishak, Dr. Serina Abdul Rahman dan Naib Presiden Persatuan Pecinta Alam Sekitar Malaysia (MNS), Vincent Chow Kok Kow.

Beliau juga menolak bantuan kepakaran dari negara luar kerana Malaysia sudah mempunyai kemahiran dan kepakaran yang cukup cuma cara untuk mengkordinasikannya perlu diketuai pihak paling layak.

Selain meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, beliau turut menyarankan pihak berwajib supaya menjalankan kajian di kawasan-kawasan industri yang mungkin berisiko mengalami pencemaran seperti Pasir Gudang.

"Kita ada banyak kawasan industri di Malaysia. Walaupun setakat ini kejadian pencemaran paling teruk adalah di Pasir Gudang tetapi tidak bermakna tiada kawasan lain yang tidak berisiko.

"Ini adalah pengajaran. Kita kena bersedia dari sekarang, jadi, saya cadangkan mereka (pihak berwajib) buat kajian," katanya yang enggan mendedahkan antara kawasan industri berisiko tersebut. - UTUSAN ONLINE