Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, mereka ialah Mg Seng Pya dan Mg Htwe masing-masing berusia 38 tahun dan Nai Cho Inn dan Aung Tun Aye masing-masing berusia 49 tahun.

Difaham, mayat mangsa kejadian itu akan diserahkan kepada Kedutaan Myanmar bagi urusan membawa pulang ke negara berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.25 malam Selasa lalu, kesemua warga Myanmar itu sedang bekerja membina tembok penahan tanah di hotel berkenaan sebelum secara tiba-tiba berlaku runtuhan tanah yang menimbus mereka.

Mayat kesemua mangsa berjaya ditemukan selepas usaha mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan dengan mayat terakhir berjaya dibawa keluar kira-kira pukul 4.30 pagi hari kejadian.

Laporan awal mendapati, kerja-kerja pembinaan tembok penahan tanah itu yang bermula sejak seminggu sebelum kejadian tidak dibuat permohonan atau diluluskan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). - UTUSAN ONLINE