Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar berkata, laluan yang paling kelam diliputi asap dan bahang kepanasan ialah di sekitar bulatan ke Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali.

Menurutnya, pengguna jalan raya di laluan berkenaan diminta berwaspada dengan tidak memandu laju kerana pengelihatan yang terhad.

“Mereka yang menggunakan kereta diminta memasang lampu bagi mengelakkan kemalangan dan pengguna bermotosikal tidak digalakkan melalui lokasi berkenaan ketika asap dalam keadaan kelam.

“Kebakaran di kedua-dua bahagian kiri dan kanan laluan itu mungkin disebabkan kecuaian pihak tertentu yang membuang puting rokok. Tidak dapat dinafikan kemungkinan ada pihak yang mementingkan diri sendiri mengambil peluang membakar untuk membersihkan tanah hutan milik mereka sepanjang musim kemarau,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hutan terbakar di Tok Bali

PREMIS yang berdekatan turut dipantau anggota pasukan bomba dan penyelamat Tok Bali kesan kebakaran hutan gelam di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan, hari ini. - UTUSAN ONLINE

Azhar berkata, kerja pemantauan dan memadam kebakaran sedang dilaksanakan oleh sekumpulan anggota bomba sejak tengah hari tadi.

“Saya telah mengeluarkan amaran keras kepada penduduk daerah ini supaya tidak membakar hutan sepanjang musim kemarau ini, namun ianya tetap berlaku sehingga kita terpaksa bertugas memadam kebakaran sepanjang tempoh 24 yang melebihi dari satu lokasi.

“Orang ramai seharusnya ada kesedaran dan tidak mengambil tindakan yang membahayakan orang ramai selain mengekang kerugian harta benda dan kemalangan yang tidak diingini,” katanya.

Hutan terbakar di Tok Bali

ANGGOTA bomba Tok Bali menjalankan kerja memadam kebakaran di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan, hari ini. - UTUSAN ONLINE

Difahamkan siasatan awal mendapati kebakaran itu bermula di pinggir hutan berhampiran kawasan penempatan semula perumahan nelayan Tok Bali yang merebak sehingga ke jalan utama.

Keadaan yang panas dan kering menyebabkan kebakaran mudah merebak termasuk hutan gelam yang mudah terbakar. - UTUSAN ONLINE