Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, talian hotline 0111-2285058 itu dikendalikan oleh Bilik Gerakan OP SAR (Mencari dan Menyelamat) di Balai Polis Pantai.

"Sekiranya orang ramai mempunyai maklumat boleh menghubungi talian ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, operasi mencari Nora Anne hari ini bermula pada pukul 10.40 pagi melibatkan seramai 296 anggota SAR daripada pelbagai agensi kerajaan.

Ujar beliau, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor turut turun ke lokasi tengah hari ini bagi melihat usaha pencarian dan menziarahi keluarga mangsa.

Tambah beliau, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz mencemar duli mengunjungi Balai Polis Pantai untuk bertemu petugas SAR yang bertugas pada Hari Raya Aidiladha.

Katanya, polis menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan perkara yang tiada fakta berhubung kehilangan Nora Anne kerana pencarian masih giat dijalankan. - UTUSAN ONLINE