Pengerusi GiatMara, Datuk Azian Osman berkata, selaku agensi pelaksana, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM40,000 seunit untuk rumah baharu dan RM10,000 seunit bagi membaik pulih rumah dilanda banjir.

Beliau berkata, sebahagian besar rumah terbabit mengalami kerosakan teruk selain musnah selepas dihanyutkan air banjir.

“Rumah-rumah yang siap dibina sudah diserahkan kepada pemiliknya manakala sebahagian lagi masih dibaik pulih oleh kontraktor dilantik GiatMara yang dijangka siap pertengahan tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Program Peningkatan Pendapatan serta Penyerahan Kunci Rumah Pascabanjir penduduk daerah ini di Pusat GiatMara Raub di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Seri Shahiruddin Ab. Moin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram dan Pegawai Daerah, Datuk Khairul Annuar Mahmood.

Menurut Azian, kerajaan sentiasa berusaha memberi segala kemudahan termasuk perumahan kepada rakyat walaupun melibatkan peruntukan yang besar.

“Pahang juga diperuntukkan sebanyak RM10 juta di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP) tahun ini bagi membantu rakyat meningkatkan pendapatan keluarga.

“Sehingga kini seramai 173 orang mendapat pelbagai bantuan di bawah program ini membabitkan perbelanjaan sebanyak RM1.73 juta,” katanya.