Dalam satu kenyataan, Wisma Putra memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta masih lagi menunggu laporan daripada pihak berkuasa tempatan di Indonesia dan akan sentiasa memantau perkembangan kejadian itu.

“Rakyat Malaysia diminta sentiasa tenang dan mengikuti berita tempatan untuk mengetahui perkembangan terkini.

“Warganegara Malaysia yang berada di sekitar kawasan terjejas dan memerlukan bantuan konsular dinasihatkan untuk berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta,” katanya di sini hari ini.

Gempa bumi berkekuatan 7.4 skala Ritcher telah dilaporkan berlaku di perairan 147 kilometer Barat Daya Banten semalam pada pukul 7.03 malam waktu tempatan.

Gegaran turut dirasai di beberapa daerah di Banten, Bengkulu, Jawa Barat, dan Lampung.

Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia telah mengeluarkan amaran tsunami susulan gempa bumi tersebut, namun telah menarik semula amaran tersebut pada pukul 9.35 malam waktu tempatan.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta boleh dihubungi menerusi talian +6225224947 dan +6281380813036 atau email [email protected] - UTUSAN ONLINE