Usaha pengetua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hua itu berjaya namun hanya enam pelajar berusia 15 hingga 17 tahun mengalami sesak nafas dan dikejarkan ke Hospital Shah Alam serta Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Kejadian kali kedua itu berlaku di Jalan Nagasari, Seksyen 36 setelah pihak bomba dan penyelamat menerima panggilan kira-kira pukul 7 pagi selepas pelajar terbabit mengadu sesak nafas dan muntah.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Zon Shah Alam, Yusri Basri berkata, sepasukan pegawai dan anggota termasuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam kilang yang terletak hanya 150 meter dari sekolah itu mendapati bacaan kandungan gas ammonia adalah tinggi iaitu iaitu 220 Parts Per Million (ppm) manakala di luar kawasan pada tahap normal.

Bagaimanapun katanya, peme­riksaan berterusan pada kira-kira pukul 12 tengah hari mendapati bacaan tersebut semakin menurun kepada dua ppm sahaja dan berada dalam keadaan selamat.

“Pasukan kita mengenal pasti kebocoran berpunca daripada satu mesin pemprosesan ais itu yang berlainan, bukannya mesin sama dalam kejadian Isnin lalu. Kejadian mungkin berlaku di­sebabkan kerja pembaikan mesin yang tidak sempurna sebelum ini.

“Kilang tersebut tidak ber­operasi pada waktu kejadian dan tiada pekerja di dalam kawasan premis ketika kebocoran gas berlaku,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Sekolah (PIBG) sekolah tersebut, Tan Lian Hee berkata, pihaknya bercadang membuat permohonan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya kilang terbabit dipindahkan ke satu lokasi strategik.

“Kami juga akan mempertimbangkan untuk membuat laporan polis supaya lokasi premis itu dikaji semula kerana gas ammonia sangat merbahaya dan melibatkan nyawa para pelajar,” ujarnya.