Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, nahas pada pukul 11 malam itu membabitkan sebuah lori, dua kereta jenis Toyota Camry dan Proton Wira serta sebuah motosikal jenis Yamaha LC.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Camry yang dinaiki tiga lelaki dan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun telah terlanggar motosikal yang ditunggang lelaki berusia 40 tahun.

“Ketika kejadian, kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Batu Gajah ke Ipoh dan telah terlanggar bahagian tepi sebelah kiri motosikal itu yang mahu masuk ke simpang Batu Gajah Perdana.

“Akibat pelanggaran itu, kereta berkenaan hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah lori dipandu lelaki berusia 44 tahun sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah kereta Proton Wira” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam kemalangan itu, pemandu lori tidak cedera manakala empat sekeluarga termasuk kanak-kanak berkenaan yang menaiki kereta Proton Wira cedera parah di kaki, badan dan kepala.

Katanya, pemandu Toyota Camry juga tidak cedera namun tiga penumpang lain kenderaan itu tidak sedarkan diri dan parah di kaki manakala penunggang motosikal pula patah tangan kiri.

“Kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan. Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - UTUSAN ONLINE