Dalam kejadian pada pukul 1.52 pagi itu, Mixzezly Henry, Roman Ensalit, Agustine Rentap Didi dan Dunstan Empawie disahkan maut akibat kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, empat mangsa yang maut merupakan pemandu dan penumpang kereta berusia lingkungan 19 hingga 41 tahun.

"Ketika kejadian, keempat-empat mangsa bersama dua lagi yang parah dalam perjalanan dari arah Sarikei menuju ke Sri Aman dengan menaiki sebuah kereta.

"Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah lori dari arah bertentangan yang dikatakan telah memasuki laluan mangsa," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Borneo.

Ujar Alexson, mangsa yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Sri Aman untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Siasatan lanjut ke masih dijalankan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," jelasnya.

Hadir sama di lokasi kejadian adalah anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman untuk membantu mengeluarkan mangsa-mangsa dari dalam kereta. - UTUSAN ONLINE