Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Negeri Sarawak yang menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 8.33 pagi telah mengerahkan dua pasukan bomba ke lokasi.

Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak Penguasa Kanan Bomba I (PgKB I) Tiong Ling Hii berkata, setibanya di lokasi kejadian, api telah marak memusnahkan 90 peratus deretan rumah yang membabitkan empat pintu rumah kayu.

“Ketangkasan pihak Bomba berjaya menyelamatkan rumah lain yang dibina sederet dengan rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan lapor Utusan Borneo hari ini.

Ling Hii memberitahu, sebanyak dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu dan sebuah lagi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dengan kekuatan 21 anggota.

“Kerja memadamkan api dilakukan sehingga terkawal pada pukul 9.08 pagi dan operasi tamat pada pukul 11.16 pagi,” ujarnya.

Tambahnya, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut manakala pasukan penyiasat kebakaran masih menjalankan pemeriksaan lanjut di tapak kejadian bagi mengenal pasti punca kejadian termasuk kerugian. – UTUSAN ONLINE