Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kemalangan berlaku pada pukul 2.35 petang melibatkan dua buah kereta Perodua Myvi.

Katanya, kejadian berlaku apabila sebuah kereta dipandu seorang anggota tentera berusia 20 tahun, R. Tharumaraj dari arah Pasir Panjang ke Linggi gagal dikawal semasa tiba di satu selekoh.

"Kereta tersebut telah memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lagi Perodua Myvi yang dinaiki tiga beranak.

"Akibat perlanggaran itu, kereta dinaiki anggota tentera terbabit berpusing dan terhenti di tengah jalan, manakala sebuah lagi kereta dipandu, Muhammad Ardani Mohd. Ayub, 25, terbabas ke dalam longkang di tepi jalan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Aidi Sham berkata, akibat kemalangan itu, anggota tentera berasal dari Taman Melaka Baru, Melaka itu patah tangan dan kaki kanan selain patah gigi.

Katanya, Muhammad Ardani pula patah kaki dan tangan kanan.

"Kedua-duanya telah dihantar menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut di Hospital Port Dickson," ujarnya.

Dua lagi penumpang kereta, Raja Nur Masitah Raja Razman, 25, dan bayi berusia lapan bulan, Puteri Sarah Sofia Muhammad Ardani mengalami kecederaan ringan.

Aidi Sham memberitahu, kemalangan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE