Kedua-dua insiden itu yang dipercayai berpunca daripada masalah brek bukan sahaja meng­akibatkan gangguan di laluan tren berkenaan, malah turut menyebabkan kesesakan lalu lintas ekoran tindakan segelintir pemandu kenderaan yang sibuk mengambil gambar kebakaran.

Dalam kejadian pertama pada pukul 8 pagi, lebih 300 penum­pang LRT dari Stesen Kuala Lumpur Sentral menghala ke Terminal Putra, Gombak diarah mengosongkan keempat-empat gerabak sebaik sahaja tiba di Stesen Setiawangsa di Jalan Jelatek kerana salah satu daripadanya terbakar.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Keramat, Suhaimi Abdul Shukor berkata, kebakaran tersebut dipercayai berpunca daripada kegagalan brek di bahagian bawah gerabak berfungsi.

“Kemungkinan getah brek tren tersebut haus dan menyebabkan geseran antara besi berlaku hingga mengakibatkan percikan api. Kebakaran tidak sempat merebak ke bahagian lain kerana tindakan pantas kakitangan LRT mema­damkan api,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Suhaimi memberitahu, seramai enam anggota bomba terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran tersebut.

Dalam kejadian kedua kira-kira pukul 12.15 tengah hari, tindakan pantas salah seorang penum­pang menekan loceng kecemasan di dalam tren yang menghala ke Ste­sen Ampang menuju ke Kelana Jaya itu berjaya menyelamatkan nyawa 52 penumpang yang lain.

Tren berkenaan dihentikan di Stesen LRT Universiti dan ke­semua penumpang turun dengan selamat.

Penolong Kanan Penguasa Bomba Bahagian Operasi Kuala Lumpur, M. Letchumanan memberitahu, pihaknya menerima panggilan kebakaran pada pukul 12.18 tengah hari dan tiba empat minit kemudian.

“Api berjaya dikawal dalam masa lima minit,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua insiden tiada kaitan dan punca kejadian masih dalam siasatan.