Dalam kejadian pukul kira-kira pukul 8.15 pagi itu, mangsa yang juga penunggang motosikal Kawasaki Vulcan, Mohd. Jamion Mohd. Jani, 59, dan penunggang motosikal jenis Honda EX5, Muhamad Syaffuan Abdullah, 17, meninggal dunia di tempat kejadian.

Tiga lagi mangsa iaitu pembonceng Honda EX5 ditunggang Muhamad Syaffuan, Muhamad Shahzuan Zamri, 19, dan penunggang serta pembonceng sebuah lagi Honda EX5 yang turut terlibat dalam kemalangan itu, Mohammad Fazreen Kamil, 18, dan Muhammad Hafizuddin Kamal Mustafa, 17, cedera dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Kamarulzaman Jusoh berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Kawasaki Vulcan yang datang dari arah Felda Lepar Hilir 1 hendak menghala ke Felda Lepar Hilir 5 di sini.

“Apabila perjalanan sampai ditempat kejadian, dengan tiba-tiba motosikal Kawasaki Vulcan telah masuk ke laluan bersebelahan dan melanggar dua motosikal EX5 yang datang dari arah Felda Lepar Hilir 5.

“Akibat daripada perlanggaran tersebut penunggang motosikal Kawasaki Vulcan dan Honda EX5 telah meninggal dunia di tempat kejadian.Tiada saksi awam melihat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kamarulzaman berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati, keadaan permukaan jalan satu lorong dua hala berbukit, garisan tengah berkembar, jalan kering, cuaca baik, terdapat parit di kiri dan kanan jalan.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE