T. Jaya Prakash, 36, dan anak tirinya, Ryan Mohd. Azman, 10, dari Seremban ditemukan selamat di puncak Bukit Botak kira-kira pukul 1.22 pagi tadi selepas memulakan pendakian pukul 4 petang semalam.

Pegawai operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Menanti, Pegawai Bomba Kanan II Roslan Shahrani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.13 malam daripada ahli keluarga mangsa.

"Sebuah jentera bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi untuk operasi pencarian mangsa. Pasukan ini turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang awam," katanya.

Menurutnya, cuaca yang mulai gelap menyebabkan mangsa panik sama ada mahu meneruskan pendakian atau berpatah balik.

Jelasnya, mangsa sempat menghubungi ahli keluarganya sebelum telefon bimbit mereka kehabisan bateri.

"Mangsa selamat dibawa turun pada pukul 7.32 pagi," ujarnya. - UTUSAN ONLINE