Dalam kejadian pada pukul 9.50 pagi itu, mangsa berusia 82 tahun memandu kereta Proton Saga FLX dalam perjalanan dari Bandar Baru Bangi menghala ke Kajang.

Kenderaan mangsa dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan sebelum melanggar sebatang pokok di lokasi kemalangan.

Akibat perlanggaran tersebut, kenderaan mangsa melintang di atas longkang dengan mangsa masih berada di dalam kereta.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada pukul 10.20 pagi dan pegawai penyiasat dan anggota bertugas telah ke lokasi untuk menjalankan siasatan awal.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Kajang dan proses bedah siasat dibuat pada pukul 3 petang tadi.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Allahyarham Dr. Harun yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak merupakan pakar penulisan dalam bidang kesusasteraan Melayu tradisional, puisi Melayu tradisional, kepustakaan ilmu (epistemologi) tradisional dengan pengkhususan dalam ilmu perubatan, ilmu ramalan (astrologi) dan ilmu perkasihan (seksologi) tradisional.

Antara karya Allahyarham adalah Cerita-Cerita Panji Melayu, Puisi Melayu Tradisional–Satu Pembicaraan Genre dan Fungsi, Pantun Sebagai Artifak Budaya dan Kitab Tib Muzium Terengganu. - UTUSAN ONLINE