Mangsa yang maut dalam kejadian pukul kira-kira pukul 5 petang itu ialah warga Myanmar, Rohimullah, 19, manakala tiga lagi rakannya; Abdul Rahman Abul Hussin, 30; Hussien Ahmad Asod Ali, 20, serta Kamaluddin Abu Tahir, 30, parah dan masih tidak sedarkan diri.

Insiden di padang bola milik Setia Badminton Acedemy di Setia Alam itu berlaku sebaik sahaja pengadil memberhentikan perlawanan di antara pasukan Rohingya Klang FC (RKFC) menentang Super Nova FC ekoran cuaca tidak mengizinkan.

Pengadil perlawanan, Zainizam Zambri, 38, berkata, sebaik sahaja dia menghentikan perlawanan, semua pemain keluar tetapi tiga pemain RKFC tidak berbuat demikian, sebaliknya kekal berada di padang bersama penyokong dengan Rohimullah dilihat menggunakan telefon bimbit.

“Secara tiba-tiba petir menyambar ke arah mangsa dan saya lihat empat individu terpelanting. Ketika itu, kami tidak mampu menolong kerana petir tengah sabung menyabung dan risau keselamatan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini petang ini.

Sejurus petir reda, Zainizam berkata, dia dan beberapa orang awam pergi ke arah mangsa dan mendapati Rohimullah sudah tidak bernyawa dengan pakai­annya terbakar, di samping kesan melecur yang besar pada kaki.

Dalam itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh ketika dihubungi berkata, tiga rakan senegara mangsa yang parah kini ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Dalam perkembangan yang sama, cuaca buruk di Shah Alam juga menyaksi beberapa kawasan di bandar raya itu dilanda hujan ais berserta ribut antaranya di Seksyen 6 dan Puncak Perdana, selain turut menyaksikan beberapa pokok tumbang.

Bagaimanapun, tiada kemalangan atau kecederaan yang berpunca daripada hujan ais dan pokok tumbang tersebut.