Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, mereka perlu mengikuti perkembangan bahawa sistem yang masih ada kini hanya bertepatan dengan keperluan tahun 70-an dan 80-an.

“Kita perlu sedar pembangunan kini banyak, sisa kumbahan juga kadang kala masuk ke dalam parit. Ia tidak lagi dapat menampung air yang sangat banyak terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

“PBT perlu ambil berat tentang perkara ini, ada beberapa daripadanya tidak menjalankan tanggungjawab dan telah mengundang masalah,” katanya dalam sidang akhbar Sesi Pengenalan dan Pengumuman Pertandingan Menamakan Anak Panda Gergasi di Zoo Negara dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir timbalannya, Datuk Ir. Hamim Samuri; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Azizan Ahmad dan Presiden Persatuan Zoologi Malaysia, Datuk Sr. Zaharin Md. Arif.

Sementara itu, Wan Junaidi turut menafikan khabar angin di laman sosial yang menyatakan paras air di beberapa empangan berada pada tahap bahaya dan menjadi punca kepada kejadian banjir.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah membuat penilaian, paras air di kawasan takungan dan pusat tadahan air masih lagi selamat dan terkawal buat masa ini.

“Paras air yang ada juga masih lagi belum mencecah paras bahaya, ia sama sekali tidak seperti yang digembar-gemburkan di laman sosial,” katanya.