Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, sepasukan anggota bomba terpaksa dipanggil bagi menyelamatkan kesemua pelajar tingkatan lima dari sekolah menengah di sini yang terkunci di dalam rumah di tingkat tiga.

Ahli Dewan Undangan Negeri Lobak, Chew Seh Yong berkata, beliau dihubungi penduduk yang mengadu sekumpulan 10 pelajar ponteng sekolah dan berkumpul di satu unit rumah tidak berpenghuni di tingkat empat Rumah Pangsa Lobak.

Katanya, dua guru sekolah mereka datang tidak lama kemudian untuk menangani masalah itu.

“Saya juga menghubungi polis yang datang tidak lama kemudian. Menyedari kehadiran polis, para pelajar itu cuba melarikan diri.

Bomba bantu selamatkan pelajar
ANGGOTA bomba menggunakan tangga bagi membawa turun enam pelajar yang terperangkap di tingkat tiga Rumah Pangsa Lobak di Seremban hari ini. - UTUSAN ONLINE/NAZARUDIN SHAHARI

“Bagaimanapun, enam daripada mereka termasuk seorang pelajar perempuan bertindak memanjat dan turun dari serambi di dapur rumah ke tingkat tiga tetapi mendapati mereka terperangkap di dalam rumah yang berkunci,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba terpaksa dipanggil untuk membantu pelajar berkenaan turun dari tingkat tiga menggunakan tangga dan proses itu selesai kira-kira pukul 10.30 pagi.

Para pelajar berkenaan kemudian di bawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Operasi Balai Bomba Seremban, K. Putthisigmany berkata, pihaknya menerima panggilan meminta bantuan pada pukul 9.13 pagi.

“Seramai lapan anggota bersama satu jentera dan sebuah ambulan Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS) dari Balai Bomba Seremban bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu menurunkan para pelajar tersebut,” katanya. - UTUSAN ONLINE