Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) negeri, Siti Huzaimah Ibrahim berkata, setakat pukul 5 petang, sebanyak 1,786 keluarga ditempatkan di 50 pusat pemindahan banjir.

Walau bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa kawasan yang dilanda banjir teruk sejak kelmarin hingga semalam kembali pulih hari ini.

“Cuaca panas hari ini telah menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir pulih dan pusat pemindahan yang menempatkan mangsa ditutup.

“Setakat ini, empat pusat pemindahan banjir yang sudah ditutup ialah Dewan Gereja St. Mary Bogag dan Gereja St. Paulus di Bau, Sekolah Kebangsaan (SK) St. Peter Bunuk dan Masjid Darul Ibadah di sini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pendidikan negeri dalam kenyataannya memaklumkan, setakat pukul 4 petang, terdapat 18 buah sekolah di daerah Padawan, Bau, Lundu, Serian dan Lubuk Antu masih ditutup akibat banjir, terputus hubungan dan digunakan sebagai pusat separa operasi.

Katanya, terdapat sembilan buah sekolah di Padawan, Bau, Samarahan dan Serian pula digunakan untuk menempatkan mangsa pemindahan membabitkan 1,658 mangsa daripada 571 keluarga.

Sementara itu, air pasang tinggi petang ini telah menyebabkan beberapa kawasan perniagaan dan rumah penduduk di perkampu­ngan berhampiran tebing Sungai Sarawak di bandar raya ini dilanda banjir semula selepas air surut pada tengah hari.

Turut dinaiki air ialah Jalan Kuching-Serian menyebabkan berlaku kesesakan teruk di kedua-dua laluan.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Kampung Bumbok, Jalan Batu Kitang di sini, mendapati pusat pemindahan di kampung tersebut sudah pun ditutup tetapi masih ada beberapa rumah penduduk terletak di kawasan rendah masih dinaiki air.

Di Kampung Bratan, Jalan Puncak Borneo di sini, penduduk yang menjadi mangsa banjir masing-masing sibuk membersihkan rumah selepas air surut hari ini.

Seorang mangsa, Tia Chiak, 82, berkata, semua barang dalam rumah termasuk tilam dan bantal ditenggelami air kerana tidak sempat diselamatkan memandangkan banjir berlaku terlalu pantas.

“Banjir kali ini adalah terburuk kerana air sangat tinggi dan deras. Semua barang dalam rumah saya tidak sempat diselamatkan,” katanya.