Pengarah Pendidikan negeri , Shafruddin Ali Hussin berkata, pihaknya akan menggunakan peruntukan sedia ada yang disalurkan kementerian bagi menampung kerosakan membabitkan bangunan akademik tiga tingkat dan bengkel kemahiran hidup yang dianggarkan bernilai RM400,000 itu.

Katanya, jika kos baik pulih sebenar melebihi peruntukan sedia ada maka permohonan darurat akan dikemukakan berdasarkan laporan penuh pihak forensik Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Kerosakan membabitkan bumbung serta atap di samping kerja pendawaian elektrik dan tiada sebarang perabot yang terlibat.

"Bagaimanapun, sesi persekolahan masih berjalan seperti biasa dengan 315 pelajar dari 17 kelas yang terjejas kini ditempatkan di bangunan tingkatan enam yang kosong hingga sesi persekolahan tahun ini," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di SMK Landas di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Terengganu, Rosli Chik.

Dalam kejadian antara pukul 3 hingga 3.15 petang itu, bumbung bangunan tiga tingkat yang menempatkan kelas pelajar di samping bengkel kemahiran hidup musnah akibat dibadai ribut dalam kejadian hujan lebat.

Namun, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Ketika kejadian, kesemua pelajar telah pulang ke rumah setelah mendapat kebenaran pihak sekolah agar pulang lebih awal memandangkan sekolah itu terlibat dengan minggu peperiksaan.

Menurut Shafruddin, kerosakan yang berlaku, bagaimanapun tidak menghalang pelajar untuk menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana sekolah memiliki dewan dan kelas lain.

Selain itu, katanya, SMK Landas turut memiliki kemudahan asrama yang dihuni 140 pelajar. - UTUSAN ONLINE