Seorang mangsa, Normadiah Hussin, 32, berkata, faktor angin kuat selain tekanan air rendah menyebabkan kerja-kerja pemadaman api sukar dilakukan.

“Angin kuat semalam dan api cepat merebak kerana keadaan rumah rapat. Malah, orang kampung turut membantu sehingga naik ke bumbung rumah untuk memadam api,” katanya ketika ditemui Bernama.

Menceritakan detik kejadian, Normadiah yang juga Guru Besar Sekolah Rendah Islamiah Al-Furqan, Tawau itu berkata, ketika kejadian dia serta sembilan ahli keluarganya yang lain sedang berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen sebelum dikejutkan suara jeritan kebakaran.

“Rumah kami selang lapan rumah dari rumah yang mula terbakar dan saya hanya sempat menyelamatkan dokumen pengenalan diri.

“Keadaan di luar rumah panik dengan bunyi orang menjerit, bunyi letupan, kaca pecah dan ketika itu asap mula memenuhi ruangan rumah hingga kami sekeluarga berlari keluar rumah,” katanya.

Sementara itu, seorang warga emas, Tiha Masak, 60, berkata, dalam kejadian itu kira-kira 7.40 malam itu rumah serta kedai runcitnya musnah terbakar.

“Tiada barang yang dapat saya dan suami selamatkan dan kami bawa diri sehelai sepinggang keluar dari rumah bersama dokumen pengenalan diri,” katanya

Rata-rata mangsa kebakaran yang ditemui Bernama memerlukan bantuan segera berupa pakaian dan makanan.

Semalam, bomba menganggarkan sebanyak 60 buah rumah musnah kebakaran di Kampung Otentik, Tanjung Batu Keramat dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam. -BERNAMA