Kejadian berlaku pukul 3.08 pagi mengakibatkan Mohamad Hazizee Mahmod, 24, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15Z meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Bagaimanapun rakannya yang merupakan anggota polis, Konstabel Norshakira Bahar, 22, hanya mengalami luka di tangan, badan serta retak di tumit kaki kanan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal pasangan itu bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu lelaki berusia 24 tahun.

“Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, kereta tersebut dari arah bandar raya Melaka ke Sungai Udang telah bergesel dengan motosikal ditunggangi mangsa yang ketika itu berada di lorong kiri.

“Berikutan itu, motosikal pasangan terbabit terbabas dan diseret kereta berkenaan sehingga ke pembahagi besi kiri jalan.

“Penunggang motosikal kemudian tercampak di bahu kiri jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng dikejarkan ke zon hijau Hospital Melaka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Norshakira yang bertugas di Bahagian Pentadbiran Ibu pejabat Polis Daerah Bera, Pahang memberitahu, mereka berdua merancang melangsungkan pertunangan pada Hari Raya Aidilfitri tahun depan selepas berkenalan lebih empat tahun.

“Kami sedang mengumpul duit untuk melangsungkan majlis pertunangan kerana saya baru bertugas sebagai anggota polis pada Jun tahun lalu.

“Arwah juga bermain kutu emas baru sebulan untuk memberikan saya gelang tangan sebagai tanda pertunangan kami,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga Allahyarham Mohamad Hazizee di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di sini petang ini. - UTUSAN ONLINE