Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, semua markas telah diberikan amaran bersiap sedia menyertai operasi banjir, Ops Murni di bawah kendalian Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, tragedi banjir besar yang melanda negara tahun lalu banyak memberikan pengalaman dan pengajaran kepada cabang perkhidmatan ATM itu dengan persiapan rapi termasuk dari aspek aset dan anggota yang telah diperkukuhkan.

“Arahan telah dikeluarkan kepada semua markas TLDM terutama di bahagian Pantai Timur, Markas Wilayah Laut 1, Kuantan bagi bersiap sedia menunggu arahan selanjutnya daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) dan ATM.

“Kita sedia memberikan apa sahaja perkhidmatan apabila diperlukan termasuk bot, helikopter, pusat pengumpulan makanan dan sebagainya. Jumlah anggota yang bakal menyertai operasi ini belum ditentukan, bergantung kepada keadaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai TLDM kepada enam pegawai termasuk dua daripada Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) di KD Sri Gombak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Anuwi Hassan.

Dalam pada itu, Ahmad Kamarulzaman berkata, TLDM bersetuju menganugerahkan pangkat Komander Kehormat (PSSTLDM) kepada dua individu berpengaruh seperti Naib Pengerusi Cahya Mata Sarawak Berhad, Datuk Sri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib dan Pengerusi Zl Communication Sdn. Bhd., Datuk Zulkifli Ishak.

Menurut beliau, perkhidmatan itu percaya menerusi penganugerahan tersebut mampu menarik minat orang ramai untuk menyertai TLDM khususnya penduduk Sarawak.

“Penerima anugerah berperanan menerangkan kepada masyarakat di kawasan mereka mengenai kepentingan pasukan ketenteraan kepada negara termasuk ketika bencana, projek kemasyarakatan dan sebagainya,” ujarnya.