Kejadian berlaku berhampiran Blok E hospital tersebut kira-kira pukul 8 pagi namun ia tidak mendatangkan kecederaan atau menjejaskan bangunan.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Timbalan Penguasa Bomba Kamarulzaman Mohd. Din, pihaknya dimaklumkan kebakaran berlaku sebaik sahaja pemandu ambulans tersebut menurunkan seorang pesakit dari Unit Kecemasan Hospital Melaka ke Blok E.

"Sebaik sahaja menurunkan pesakit, pemandu ambulans terbabit menyedari bahagian hadapan kenderaan berkenaan berasap dan terbakar.

"Dia kemudian cuba memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api dan hos kecemasan sebelum pasukan bomba tiba mengawal insiden itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 8.11 pagi dan sepasukan 16 anggota termasuk komander operasi dikejarkan ke lokasi.

"Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian dan kebakaran dipadamkan menggunakan bekalan air dari jentera," katanya.

Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 8.29 pagi, tambah Kamarulzaman.

Beliau turut menafikan berita yang tular dalam laman sosial kononnya berlaku kebakaran di Hospital Melaka.

"Pihak bomba tidak menerima sebarang panggilan kebakaran lain, selain membabitkan kes ambulans pagi tadi," katanya. - UTUSAN ONLINE