Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi, sebanyak lima rumah kediaman dipenuhi air lumpur tanah di atas jalan sehingga pintu pagar rumah mereka.

Seorang penduduk, Zulkefli Zakaria, 51, berkata, limpahan lumpur itu berpunca daripada tapak perumahan yang baru disodok sejak dua minggu lalu di kawasan berhampiran.

Katanya, hujan lebat bermula sejak pukul 3 pagi ini menyebabkan lumpur tanah dari atas bukit itu turun ke rumah mereka.

“Pada pukul 7 pagi tadi kami terkejut selepas melihat lumpur tanah penuh di hadapan rumah.

“Kejadian pagi ini adalah yang pertama berlaku dan diharapkan ada tindakan untuk mengatasinya supaya penduduk tidak berdepan risiko banjir lumpur,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zul Hisam Mat Zain, 47, pula berkata, dia menyedari limpahan lumpur di hadapan pagar rumahnya kira-kira 8 pagi ini sebaik keluar dari rumah.

Air lumpur limpah landa kawasan rumah

KAWASAN bukit yang disodok untuk projek perumahan di Taman Kesedar Jaya, Gua Musang, Kelantan mencemaskan penduduk. - UTUSAN ONLINE

Katanya, dia terkejut apabila bahagian hadapan rumah dipenuhi lumpur.

“Saya dan kelurga bernasib baik tidak ditimbus air lumpur kerana kedudukan rumah kami betul-betul terletak di aliran bukit itu.

“Kita berharap pihak pemaju yang menyodok bukit untuk tapak perumahan itu membina benteng bagi mengelakkan berlaku hakisan bukit berkenaan.

 

“Saya bersama penduduk lain terpaksa bertindak sendiri membersihkan dan membuang lumpur di hadapan pagar rumah,” katanya. - UTUSAN ONLINE