Meskipun terpaksa melupakan hasrat untuk bersama keluarga tersayang menyambut Hari Raya Korban demi operasi SAR, namun anggota operasi tetap diberikan pelepasan untuk menunaikan solat sunat hari raya.

Anggota SAR termasuk Ketua Polis Daerah Nilai Supritenden Mohd Nor Marzukee Besar bersama kira-kira 500 jemaah mula memenuhi Masjid Kariah Pantai, Seremban sejak pukul 7 pagi untuk bersama-sama menunaikan solat sunat Aidiladha yang diimamkan oleh Imam 1 masjid, Abdul Khahar Sukin.

Abdul Khahar dalam khutbahnya menyentuh mengenai penghayatan ibadah haji dan korban sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT serta mengingatkan sidang jemaah pentingnya mengerjakan segala perintah Allah selain menghayati konsep bersedekah menerusi ibadah korban.

Selesai solat, semua jemaah termasuk anggota SAR dijamu dengan hidangan kuih-muih, ketupat dan rendang yang disediakan penduduk setempat.

Sementara itu, Mohd Nor Marzukee berkata walaupun hari raya, operasi mencari tetap diteruskan malah sudah bermula pagi tadi dan setakat ini moral pasukan masih berada di tahap tertinggi.

"Untuk operasi SAR hari kelapan ini, kami gunakan pelbagai teknik pencarian untuk mengesan mangsa. Kami berharap rakyat Malaysia terus mendoakan operasi ini berjalan lancar dan berjaya menemui mangsa secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas solat itu.

Operasi SAR bagi mengesan Nora Anne membabitkan seramai 317 anggota termasuk pasukan elit Polis Diraja Malaysia iaitu pasukan komando VAT 69, setakat semalam.

Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada Sabtu untuk percutian dua minggu di negara ini dan bermalam di sebuah resort di Pantai, Seremban.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapan oleh keluarganya pada pukul 8 pagi hari berikutnya.- BERNAMA