SHUWAIBATUL ASLAMIYAH
SHUWAIBATUL ASLAMIYAH

Menurut Shuwaibatul, 25, mang­­sa yang mesra dipanggil Abang Ngah disifatkan sebagai seorang yang cepat mesra dan suka bergurau dengan adik-beradiknya setiap kali berkumpul bersama-sama keluarga.

“Angah adalah abang yang paling suka menya­kat dan bergurau dengan kami adik-beradik. Sampai satu tahap dia berseloroh, kalau dia tiada nanti, kami akan rindu padanya,” katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Kampung Mengkibol di sini hari ini.

Muhamad Abu Dujanah, isteri, Zinnirah Abdul Hamid, 28; dan anak mereka Nur Maghfirah, 6; Muhammad Abu Ajwad, 4, dan Nur Alia Humairah, tiga bulan terkorban dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Jalan Johor Bahru-Seremban, Segamat, pukul 6.10 petang semalam.

Seorang lagi anak mangsa yang turut menaiki kereta Perodua Viva tersebut, Nur Ghaziyah Athirah, 3, cedera parah dan masih dirawat di Unit Kecemasan Hospital Daerah Segamat (HDS).

Bercerita lanjut, anak keenam daripada 11 beradik itu berkata, kali terakhir dia bertemu abangnya sekeluarga adalah pada Ahad lalu ketika dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ketika mereka bercuti bersama-sama.

Ujarnya, pada Sabtu lalu mereka bersama-sama ibu dan ayah serta adik beradik yang lain pergi ke Kuala Lumpur bagi aktiviti hari keluarga di ibu negara.

“Selepas selesai meluangkan masa sehari di Kuala Lumpur, abang bertolak ke Muadzam, Pahang untuk berjumpa keluarga mertuanya untuk memperkenalkan bayi lelakinya yang baru lahir manakala kami yang lain terus pulang ke Kluang pada malam Ahad.

“Dalam perjalanan pulang, Abang Ngah kerap berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan dia kelihatan agak letih. Di R&R Ayer Keroh adalah kali terakhir kami bertemu Abang Ngah sebelum membawa haluan masing-masing,” katanya lagi.

Shuwaibatul memberitahu, keluarganya mengetahui mengenai berita kematian arwah menerusi abang sulungnya, Mohd. Nizammuddin yang ternampak hebahan di Facebook mengenai kemalangan bas ekspres dan kereta sebelum mengesyaki melibatkan adiknya kerana mengecam kenderaan mereka.

“Berita kematian Abang Ngah, isterinya dan anak-anak turut menyebabkan ibu hampir rebah kerana terkejut dan tidak dapat menahan kesedihan mendengar berita tragedi itu.

“Ayah pun dah pesan kepada kami adik-beradik supaya jangan menangis depan mak atas pemergian Abang Ngah bagi menjaga perasaannya,” kata beliau.