Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Farhan Sufyan Borhan berkata, tiga pusat pemindahan dibuka di Kota Samarahan iaitu di Dewan Komuniti Kampung Jaie, Masjid Kampung Tambirat dan Dewan Suarah Samarahan setakat pukul 7.30 malam.

Katanya, di bahagian Kuching, empat pusat pemindahan yang dibuka adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tabuan Jaya, Dewan Masyarakat Stapok, Dewan SMK Seri Setia dan SMK Bako.

“Bagi Kota Samarahan, seramai 520 mangsa daripada 11 keluarga ditempatkan di Dewan Komuniti Kampung Jaie manakala 85 mangsa (15 keluarga) di Masjid Kampung Tambirat dan 52 mangsa (11 keluarga) ditempatkan di Dewan Suarah Samarahan.

“Manakala di Kuching, seramai 39 mangsa (8 keluarga) di SMK Tabuan Jaya, 112 mangsa (49 keluarga) di Dewan Masyarakat Stapok, 21 mangsa (5 keluarga) di SMK Seri Setia dan 76 mangsa (38 keluarga) di SMK Bako,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak bomba bersama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama-sama mangsa di kesemua pusat pemindahan bagi memberikan bantuan.

“Pemantauan juga dilakukan di kawasan pemindahan bagi memberi bantuan kepada mangsa-mangsa yang ingin berpindah,” ujarnya.