Kejadian kebakaran yang meranapkan rumah panjang lapan pintu yang didiami 15 keluarga itu dilaporkan kepada pihak bomba pada pukul 8.06 malam.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, tujuh anggota diketuai Irwan Abdul dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Manis dikerahkan ke lokasi sebaik sahaja menerima laporan.

"Perjalanan ke lokasi mengambil masa satu jam 20 minit menggunakan jalan air iaitu melalui Batang Belawai ke Sungai Stalon. 

"Apabila tiba, kebakaran telah dapat dikawal dan kita terus menjalankan kerja-kerja memadamkan sisa kebakaran menggunakan pam dan air dari tangki simpanan penduduk kampung kerana paras air sungai telah surut," katanya seperti dilaporkan portal Utusan Borneo.

Menurut kenyataan itu, kejadian ini tidak melibatkan mangsa dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. - UTUSAN ONLINE