Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu ialah pemandu kereta, Norsuraya Mohd. Noor, 30; suaminya, Musa Abdullah, 31; anak mereka, Muhammad Zulkarnain, 3, dan kedua ibu bapa pemandu, Hashimah Ismail, 66, serta Mohd. Noor Che Mat, 78, yang berada di tempat duduk belakang.

Difahamkan, kesemua mang­sa termasuk Norsuraya yang hamil empat bulan dalam perjalanan pulang selepas menghadiri kenduri kahwin anak saudaranya di Kajang, Selangor yang berlangsung semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Kamarulzaman Jusoh berkata, nahas berlaku ketika kesemua mangsa yang menaiki kereta Perodua Myvii dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jengka.

“Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu Perodua Myvii dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bergesel dengan sebuah kereta Proton Iswara sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.

“Kemalangan tersebut meng­akibatkan pemandu dan empat penumpang Perodua Myvii meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang mangsa yang berusia lima tahun patah paha kiri,” katanya di sini hari ini.

Menurut Kamarulzaman, ma­yat lima sekeluarga itu dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat manakala mang­sa yang cedera dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, dekat sini.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pe­ngangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan masih giat dilakukan.

“Siasatan awal mendapati tempat kejadian adalah jalan lurus satu lorong dan semasa kejadian cuaca cerah serta permukaan jalan adalah kering,” ujarnya.