Menurut Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Roszaidi Abdol Samad, kejadian berlaku semasa kereta tersebut dalam perjalanan dari Sunway, Petaling Jaya menuju ke Port Dickson kira-kira pukul 8 pagi.

“Menurut saksi yang juga penumpang kereta, mereka dalam perjalanan untuk bercuti di Port Dickson. Kemalangan berlaku apabila kereta mereka hilang kawalan lalu merempuh sebuah lori treler dari arah belakang.

“Akibat rempuhan tersebut, pemandu Proton Saga berkenaan, Muhammad Shazwan Mohd. Zawawi, 22, tersepit di tempat duduk pemandu dan cedera parah manakala kaki serta tangannya patah.

“Dua penumpang iaitu, Nur Muhammad Ilahi Jaafar, 22, dan seorang lagi dikenali sebagai Alisa, 19, cedera parah dan koma serta dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Roszaidi berkata, dua lagi penumpang iaitu remaja lelaki berusia 21 dan remaja perempuan berumur 19 tahun cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di HTJ, manakala pemandu lori treler tidak cedera.

Katanya, seramai lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 dan lapan lagi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 8.01 minit pagi.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan penyelamat khas.

“Mangsa diberi rawatan awal di tempat kejadian sebelum diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut,” katanya. - UTUSAN ONLINE