Tumpahan sepanjang kira-kira 100 meter itu mengakibatkan jalan tersebut berminyak dan kenderaan yang lalu di kawasan tersebut terpaksa memperlahankan pemanduan bagi mengelak terbabas atau mengakibatkan kemalangan.

Berikutan itu enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya diketuai Pegawai Bomba Kanan II Suffian Mohd. Lis dengan sebuah jentera serta pacuan empat roda dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurut Suffian, bagi memastikan permukaan jalan tidak licin dan berbahaya, pihak bomba menggunakan serbuk kayu untuk menyerap minyak tersebut.

"Jumlah serbuk kayu yang telah digunakan setakat ini melibatkan dua buah lori tiga tan. Pihak bomba masih menunggu satu lagi lori tiga tan yang akan membawa serbuk kayu dan sehingga kini operasi masih dijalankan.

"Kawasan tersebut masih boleh dilalui kenderaan tetapi secara perlahan-lahan. Bagi mempercepatkan kerja-kerja pembersihan kita turut menerima bantuan lima anggota Pasukan Bomba Sukarela Ulu Tiram dan lima kakitangan Unit Seliaan Jalan dari Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Kita juga mendapatkan khidmat lima anggota polis untuk mengawal keadaan dan lalu lintas," katanya ketika dihubungi. - UTUSAN ONLINE