Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang itu, pemandu pacuan empat roda jenis Hilux, Muhamad Ikhwan Mohd. Podzi, 21, dan penumpang hadapannya, Mohamad Irkhamni Aman, 28, tersepit di tempat duduk masing-masing dan maut di lokasi nahas.

Sementara itu, pemandu sebuah treler muatan sawit, Mohd. Sarazin Mat Salim, 33, dari Felda Perasu di sini mengalami kecederaan ringan.

Turut cedera ialah tiga mangsa lain yang masing-masing menaiki kereta jenis Perodua Myvi, sebuah lori, dan kereta jenis Honda City.

Kesemua mangsa terbabit dirawat di Hospital Kuala Krai.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, ketika kejadian Toyota Hilux dinaiki dua mangsa yang maut datang dari arah Gua Musang menuju ke Kuala Krai.

Katanya, Toyota Hilux terbabit dikatakan berhenti untuk memasuki ke sebelah kanan jalan, namun dirempuh kenderaan di belakangnya lalu terbabas ke laluan bertentangan dan dirempuh treler muatan sawit yang datang dari hadapan.

“Pemandu treler sawit cuba mengelak namun gagal kerana jarak yang sangat dekat. Akibat perlanggaran itu, dua mangsa meninggal akibat tersepit di tempat kejadian,” katanya.

Beliau memberitahu, mayat dua mangsa berkenaan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, bapa kepada Mohamad Irkhamni, Aman Shahid, 64, berkata, anak sulungnya itu bekerja sebagai penghantar minyak enjin elektrik dan ketika nahas, dia bersama rakannya sedang dalam perjalanan pulang selepas menghantar bekalan minyak.

“Setiap hari arwah berulang-alik dari Kampung Merapoh, Kuala Lipis, Pahang ke seluruh kawasan di negeri Kelantan bagi menghantar bekalan minyak.

“Malam tadi arwah sempat membuat kenduri makan dan tahlil untuk keluarga serta penduduk di surau kampung kami selepas membeli seekor lembu. Dia seperti tahu bakal pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.

Menurut Aman, dia sedih mengenangkan arwah bukan sahaja tidak sempat memakai tiga helai kurta dibeli isteri sempena Aidilfitri, malah tidak dapat beraya bersama dua anak yang masih kecil. - UTUSAN ONLINE