Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, KPKT menerusi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti ‘hotspot’ itu berdasarkan insiden mati lemas yang melibatkan lebih daripada lima mangsa.

Antara lokasi berkenaan ialah sungai yang dikategorikan kawasan berisiko tinggi iaitu Sungai Kampung Batu Payung, Tawau, Sabah yang meragut 15 nyawa; Sungai SKC Kampung Timah, Selangor (tujuh); Sungai Kampung Sabak, Pangkalan Chepa, Kelantan (enam); Sungai Chiling (enam) dan Sungai Gasi (lima) di Selangor.

Kawasan berisiko tinggi lain ialah Air Terjun Sungai Sendat, Selangor yang meragut 15 nyawa; Air Terjun Sekayu, Terengganu (11), Lata Berembun, Raub (10); Air Terjun Chamang, Pahang (lima); Pantai Nipah, Kelantan (14); muara Tok Bali, Kelantan (12); Teluk Bahang, Pulau Pinang (tujuh) serta Empangan Semenyih, Selangor (10 nyawa).

“KPKT telah mengarahkan JBPM untuk mengawasi kawasan yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi untuk mengadakan kawalan keselamatan sepanjang cuti persekolahani dan sambutan perayaan tidak lama lagi.

“Justeru orang ramai juga dingatkan untuk mengambil langkah keselamatan dan patuh kepada papan tanda amaran khususnya pada musim cuti persekolahan dan cuti perayaan ini,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, sebanyak 83 insiden mati lemas dicatatkan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 44 insiden berlaku di kawasan sungai atau tali air, pantai (21 kes), tasik atau lombong (10); air terjun (tujuh) dan satu di kawasan pembentung.

Dalam pada itu, JPBM turut mengenalpasti 39 kawasan berisiko di seluruh negara yang melibatkan dua hingga lima kematian. - UTUSAN ONLINE.