Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kejadian itu dipercayai berlaku selepas terdapat kerja-kerja meracun di kawasan berhampiran sekolah.

“Tidak lama selepas itu, murid-murid terbabit mula menunjukkan simptom keracunan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, seramai tujuh pegawai dan anggota bersama sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang dikerahkan memberi bantuan sejurus menerima maklumat pada pukul 2.13 petang.

Menurut beliau, seramai enam pegawai dan anggota bomba bersama sebuah jentera Hazmat dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 turut dihantar ke lokasi kejadian.

“Kami menerima panggilan daripada pihak hospital untuk membantu bagi membersihkan dan menyahkan racun daripada anggota badan mangsa,” katanya. - UTUSAN ONLINE