Kebakaran melibatkan premis kosong itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Ketua Zon 1 Perak, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd. Khairul Jamil berkata, pihaknya menerima laporan memaklumkan kejadian itu pada pukul 8.04 malam sebelum tiba di lokasi tujuh minit kemudian.

Katanya, seramai 72 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Meru dan Pasir Puteh dengan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bercham, Pasir Pinji dan Pekan Baru terlibat dalam operasi berkenaan.

"Kebakaran tersebut melibatkan lot kedai dua tingkat namun hanya tingkat atas sahaja yang terbakar dengan anggaran kemusnahan kira-kira 40 peratus.

"Api berjaya dikawal pada pukul 9.45 malam dan padam sepenuhnya setengah jam kemudian. Tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian dekat sini.

Menurut Mohd. Khairul, struktur bangunan tersebut yang diperbuat daripada kayu menyebabkan api marak dan merebak dengan cepat.

"Berdasarkan maklumat awam, kebakaran itu dikatakan bermula dari pusat snuker yang tidak beroperasi namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan jumlah kerugian," katanya. - UTUSAN ONLINE