Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Zynakal, 21, atau nama sebenarnya, Muhammad Raziq Rosli selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dihadapinya.

Mengikut pertuduhan, penyanyi itu didakwa didakwa mendatangkan kecederaan terhadap pekerja stesen minyak warga Bangladesh, Ahmad Mostak di Stesen Petronas Pandan Prima, Ampang dekat sini pada pukul 3 petang, 28 Ogos lalu.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Penyanyi lagu Terbang itu juga didakwa atas pertuduhan sengaja menghalang anggota polis daripada menjalankan tugas dengan tidak menunjukkan kad pengenalannya bagi tujuan pemeriksaan pada pukul 3.30 petang di tempat dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Media melaporkan seorang penyanyi ditahan selepas dipercayai menumbuk dan memaki hamun seorang pekerja sebuah stesen minyak ekoran mangsa dipercayai enggan menerima kaedah bayaran pembelian minuman yang mahu dibelinya menggunakan kad kredit di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, penyanyi lelaki berusia 21 tahun terbabit turut menghalang tugas penjawat awam dengan mempertikaikan kuasa anggota polis ketika diminta menunjukkan MyKad miliknya bagi tujuan siasatan. - UTUSAN ONLINE.