Presidennya, George Varughese ketika melahirkan kebimbangan tersebut berkata, tindakan hakim bersidang yang tidak menggunakan peluang yang diberikan untuk menentukan persoalan yang berkepentingan awam akan menjurus kepada ketidaktentuan terhadap proses pelantikan hakim.

Beliau yang kecewa dengan keputusan tersebut menyatakan, persoalan undang-undang yang dibangkitkan bukan sesuatu yang akademik dan masih boleh diberi tafsiran kerana keputusannya akan membawa kesan terhadap proses pelantikan hakim pada masa akan datang.

“Antara persoalan penting yang dikemukakan ialah sama ada Ketua Hakim Negara yang akan bersara dibenarkan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkaitan pelantikan hakim tambahan selepas persaraan beliau,’’ ujarnya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman di sini.

Beliau mengulas pendirian Mahkamah Persekutuan yang menolak rujukan perlembagaan oleh dua badan peguam untuk menentukan kesahan pelantikan Tun Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai Presiden Mahkamah Rayuan sebelum meletak jawatan pada akhir Julai lalu.

Dua badan peguam itu ialah Majlis Peguam dan Persatuan Peguambela Sarawak (AAS) sementara tiga pihak lagi terdiri daripada Persatuan Peguam Muslim Malaysia selaku pencelah, Persatuan Undang-undang Sabah sebagai sahabat mahkamah (amicus curiae) manakala Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku pemerhati.

Panel enam hakim diketuai oleh Tan Sri Hasan Lah memutuskan untuk tidak menjawab empat persoalan undang-undang yang dikemukakan kerana isu yang dibangkitkan kini akademik selepas kedua-dua hakim berkenaan meletak jawatan berkuat kuasa 31 Julai lalu.

Panel itu turut dianggotai Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Ramly Ali, Datuk Seri Balia Yusof Wahi, Tan Sri Aziah Ali dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin. - UTUSAN ONLINE